Rabu, 14 September 2011

Kehadiran Orang Melayu Dan Orang Cam Di Kemboja Hingga Awal Abad Ke XIX







          Kemboja terletak di Indochina, bersempadan dengan Negeri Thai, Loas dan Vietnam, iaitu di antara garislintang 10.5 hingga 14.1° Utara dan garisbujur 103.10 hingga 106.55° Timur. Ia dirintangi Sungai Mekong dan bercamtum dengan Tasik Tonle Sap oleh Sungai Sap (Tonle Sap) yang menjadikan tanah Kemboja satu kawasan yang sangat subur dan kaya dengan sumber ikan. Kemboja merupakan sebuah kerajaan tertua pengaruh Hindu di mana rakyatnya dikenali sebagai orang Khmer (lebih kurang 6.5 juta orang), berugama Buddha dan berbahasa Mon-Khmer. Kemboja terdiri daripada pelbagai kaum asing termasuk orang Melayu dan orang Cam yang menganuti agama Islam, mereka ini juga dikenali sebagai orang "Khmer Islam" atau orang "Cam-Jva". Orang Melayu dan orang Cam menetap di kawasan-kawasan seperti Kompot, Kampong Cham, di sepanjang sungai Tonlé Thom (dari Kratié hingga Phnom Penh), Sungai Tonlé Sap (Chraing Chamres, Khleang Sbèk dan Kampong Luong), Pursat, Battambang, Sungai Basak (Tonlé Basak) dan juga di kawasan persekitaran bandar Phnom Penh terutamanya di Chroy Changvar yang merupakan sebuah pulau yang dipetikan dari istilah Jva Changvar bermakna Tanjung Melayu.

Ditinjau pada zaman silam, Kemboja yang pernah wujud sebagai sebuah Kerajaan bertamadun tinggi dan kuat pengaruhnya di Asia Tenggara, di antaranya Funan (pada awal abad pertama), Chenla (abad ke 6) dan Angkor (abad ke 9). Kerajaan ini pernah menguasai sebahagian daripada Tanah Besar Asia Tenggara, iaitu Indochina, Siam sehingga ke utara Tanah Melayu termasuk Langkasuka.

Sejarah Kemboja sebelum kedatangan penjajah Perancis boleh di bahagikan kepada tiga zaman, iaitu zaman sebelum Angkor (awal abad pertama - akhir abad ke 8), zaman Angkor (abad ke 9 - dekad pertama abad ke 15), dan zaman selepas Angkor (abad ke 15 - pertangahan abad ke 19). Pada zaman yang dua pertama, sejarahnya bersumberkan epigraphy dan catatan-catatan Cina, manakala zaman yang ketiga bersumberkan epigraphy, kronik DiRaja Kemboja, dan catatan pengembaraan orang-orang barat seperti orang Spanyol, Portugis, Belanda, Inggeris dan Perancis.

Berdasarkan dokumen-dokumen tersebut di atas, ada menyentoh kehadiran orang Melayu dan orang cam di Kemboja. Walau bagaimanapun sumber-sumber ini tidak menjelaskan bila, bagaimana, bilangan, struktur masyarakat dan perananan mereka di Kemboja, sehingga pada abad ke 16 baru ada sedikit catatan oleh pengembara-pengembara barat tentang sejarah kehadiran mereka ini di Kemboja.

Satu sumber lagi boleh dianggap penting bagi menjelaskan kehadiran Orang Melayu dan orang Cam di Kemboja ialah manuskrip bahasa Cam yang ditulis di Kemboja dan di Vietnam. Tetapi sumber ini juga masih kabur.

Sungguhpun demikian, kesemua dokumen-dokumen ini telah memceritakan kepada kita ada kehadiran orang Campa dan orang dari Dunia Melayu di Kemboja pada suatu ketika dahulu.

WUJUD ORANG MELAYU DI KEMBOJA

Di Kemboja sudah wujud masyarakat Melayu. Mereka membina masyarakat mereka tersendiri, berpegang teguh kepada adat resam mereka yang berbeza daripada orang-orang Khmer dari segi pakaian, kehidupan dan struktur sosial. Mereka menetap di kawasan-kawasan seperti Kompot, Pusat, Battambang, sungai Tonlé Sap (Chraing Chamres, Khleang Sbek, Lovêk dan Kampong Luong) dan juga di kawasan persekitaran bandar Phnom Penh.

Pada abad ke 7 misihi, menurut sumber Kemboja, orang Melayu (Jawa) telah menakluki sebahagian besar dari wilayah Kemboja iaitu Pulo Condo (Pulau Condo) yang mana dijadikan pusat gerakan askar mereka. Bermula dari Pulau Condo ini, mereka memudiki Sungai Mékong hingga sampai ibukota Kemboja. Menurut suatu catatan batu bersurat di Vat Samran di Kemboja (ada menyebut perkataan Jawa) yang mengambarkan satu perayaan diadakan oleh Jayavarman II (802-850) selepas membebaskan Kemboja dari Empayar Jawa.

Pada abad ke-10 saka, ada sumber yang menggambarkan seorang putera Melayu berperang untuk mengembalikan tahta kerajaan Kemboja di Angkor selepas beberapa tahun dibuang negeri di Kepulauan Melayu. Menurut Cœdes, putera tersebut adalah orang Khmer dan beginda adalah Jayaviravarman. Begindalah merampas kembali tahta dari Udayadutyavarman I. Menurut D.K.Wyatt lagi, Jayaviravarman dari Tambralinga (di Nakhon Si Thammarat) bersama askar Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu, berjaya menguasai Lopburi dan kemudian Angkor. Pada abad ke-12, Jayavarman memperluaskuasanya pula ke Selatan sampai ke Jawa, ke Pegan di Barat, ke Campa di Timur. Pernah Raja Jawa yang membekalkan air suci ke raja Kemboja adalah Kameçvara II atau Çrnga.

Dengan peristiwa ini, kita boleh anggap sedikit banyak ada orang Melayu (Jawa) yang terus tinggal di Kemboja. Seorang raja dari Kepulauan Melayu ingin mengembalikan tahta di Kemboja sudah tentu datang bersama satu pasukan tentera yang kuat dan tentera itu sudah tentu terdiri daripada pasukan tempatan, iaitu Melayu. Sebahagian dari mereka (Melayu) mungkin telah mendapat jawatan tinggi dan terus menetap di Kemboja.

Kita perhatikan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja diguna di Kepulauan Melayu, tetapi di kawasan yang lebih meluas. Ia digunakan dalam bidang perdagangan dan penyebaran agama Islam di Asia Tenggara. Yakni bahasa Melayu menjadi lingua franca di kawasan ini. Sejak lebih kurang abad ke-14 atau ke-15, mubaligh-mubaligh Melayu mula sampai ke Kemboja. Serupa juga pedagang-pedagang Melayu.

Menurut Mak Phoeun kehadiran orang Melayu di Kemboja disambut baik oleh semua lapisan masyarakat, sama ada rakyat mahupun golongan bangsawan. Mereka mempunyai hak yang sama seperti orang Khmer: petani, nelayan, pegawai kerajaan peringkat bawahan sampai menteri, golongan istana dan sebagainya. Pada abad 17, seorang puteri Melayu dikahwinkan dengan seorang raja Kemboja bernama Ramadhipati I (Cau Baña Cand, 1642-1658) dan berjaya mengislamkan raja beragama Buddha itu (diberi nama Islam: Raja Ibrahim).

Antoine Cabaton, dalam kertas kerjanya, mengatakan "orang Melayu berasal dari Campa". Dari sini, mereka menyebar ke "Insulinde, dan negeri-negeri Melayu lain sampai ke Polynesia... dan kembali ke tanah asal mereka dan lupa asal usul mereka, mengatakan bahawa mereka dari Menangkabau". Walaupun catitan ini tidak disahkan oleh ahli anthropologists dan ahli linguist dalam rumpun Austronesian, catatan ini dengan benar menunjukan rumpun orang cam dan Melayu adalah sama. Dan persahabatan di antara orang Melayu dan orang Campa sudah bermula dari abad ke-VIII, di mana Annales Cina mencatitkan "pada tahun 767, satu penawanan di pantai Tonkin dan Cina Selatan oleh orang Melayu dari Melaka... dan [mereka] tinggal lama di Campa".

WUJUD ORANG CAMPA DI KEMBOJA

Kita dapati bahawa hubungan diantara orang Kemboja dan orang Cam sudah wujud dari zaman pra-Angkor. Hubungan ini diteruskan sehingga kejatuhkan negera Campa (negeri Panduranga) pada tahun 1835.

Hubungan awal dapat dikesankan melalui catatan batu bersurat merupakan bentuk persahabatan yang baik sehingga seorang putera Campa berkahwin dengan seorang puteri Raja Içnavarman pada abad ke-7. Pada awal abad ini juga ada perniagaan hamba abdi yang dijalankan oleh pedagang-pedagang Campa.

Pada abad ke 9 saka, satu peperangan berlaku di antara Kemboja dan Campa, di mana Campa dikalahkan dan semua harta milik kerajaan Campa dirampas. Menurut suatu catatan Batu bersurat menggambarkan bahawa Vikramasimha yang ditugaskan oleh raja Kemboja untuk memimpin peperangan di Campa, membawa pulang harta rampasan dan diagihkan di beberapa tempat di Kemboja untuk membina asrama-asrama. Sumber batu bersurat yang lain menyebut kemenangan Kemboja dan semua khazanah diraja Campa dirampas dan "raja Campa" sendiri ditawan.

Semasa Jayavarman VII di Vijaya, baginda terpaksa pulang ke Kemboja dengan segera untuk membantu raja Yaçovarman II (raja Kemboja), dari ancaman pemberontak-pebeorntak. Pada abad ke 12, Campa ditaklok (1203-1220) oleh Kemboja, semasa bawah pemerintahan Jayavarman VII (1181-1218?). Pada 1104 saka (1182 M), seorang putera Campa melarikan diri ke Kemboja, di sana beginda dididik dan dibesarkan. Bagainda memainkan peranan penting dalam membantu raja Jayavarman VII untuk menghapuskan pemberontak-pemberontak di Malyan (kawasan provinsi Battambang sekarang). Kemudian, beginda ditugaskan untuk berperang dengan Vijaya (Campa) pula. Dengan memperolehi kemenangan, beginda membawa pulang raja Jay Indravarman ke Kemboja sebagai tewanan perang.

Batu bersurat di Prah Khan mancatatkan bawaha ada hamba abdi, lelaki dan perampuan, telah di bawa dari Campa, Yavana, Pukan dan Rvan. Dibawah pemerintahan Jayavarman VII, Kemboja adalah sebuah negeri yang kuat sehingga air suci dibawa oleh brahman-brahman dan raja-rajr dari Java, Yavan dan Campa. Pada abad ke-XIV, "sebahagian [dari Campa] yang dipenghuni orang Cam" pernah menduduki Kemboja.

Sepanjang sejarah peperangan Campa dan Kemboja, Campa pernah memperolehi kemenangan ke atas Kemboja; pada 1404 Campa memperolehi kejayaan dan berjaya menduduki di Angkor buat beberapa lama; tetapi tidak ada bukti yang menyatakan bahawa ada orang Campa yang menduduki di negeri Kemboja si atas kemenangan itu, kerana ia bercanggah dengan prinsip dan kepercayaan mereka.

Satu sumber lagi yang menunjukkan bahawa ada orang Campa yang tinggal di Kemboja pada waktu itu ialah bas relief di Banteay Chmar di mana "orang asing bersama orang Kemboja sedang berperang dengan orang Campa". "Orang asing" ini tidak lain adalah terdiri daripada orang Campa juga kerana dilihat dari segi pakaiannya. Walaupun hanya beberapa orang sahaja yang digambarkan di bas relief ini, tetapi kemungkinan lebih ramai lagi orang Campa yang menyebelahi Kemboja dalam perang itu. Orang-orang Campa bukan sahaja bertugas untuk raja Kemboja di peringkat askar, pemain musik atau utusan (mercenarties), bahkan di peringkat pengajar bidang kegunaan "balistes".

Dengan sumber-sumber tersebut di atas, kita sudah pastikan bagaimana orang Campa wujud di Kemboja pada Zaman Angkor (abad ke-IX hingga abad ke-XV). Walaupun tidak dijelaskan secara detail, ada orang Campa yang datang memperniagakan hamba abdi di Kemboja, ada perkahawinan di antara putera Campa dengan puteri Kemboja dan ada raja Campa menjadi tawanan perangan. Kita boleh difahamkan kemungkinan mangsa hamba abdi itu sebahagian daripada mereka adalah orang Campa, tidak mungkin seorang putera Campa sahaja dibawa ke Kemboja, dan seorang raja sahaja dibawa ke Kemboja sebagai tewanan perang. Kemungkinan besar ada orang Campa lain ikut bersama putera itu dan juga orang Campa lain yang menjadi tawanan perang.

Oleh kerana banyak candi-candi sedang dibina pada zaman Angkor di Kemboja, kemungkinan besar juga ada orang Campa (sihat tubuh badan, able bodied men) dibawa masuk ke Kemboja; kerana banyak tenaga buruh diperlukan dalam pembinaan. Dan selepas berapa lama di negeri ini, mereka terus bermastautin di sina.

Kita lihat dari satu sudut lagi bagaimana wujudnya orang Campa di Kemboja. Sejak terdirinya Vietnam pada tahun 939 masihi, peperangan di antara Vietnam dan Campa berlaku tidak terhenti-henti sehingga kehilangan Campa pada tahun 1835. "Setiap kemenagn di atas Campa, diikuti dengan usaha terus menjajah oleh Vietnam" yang menghasilkan penempatan koloni Vietnam. Yakni orang Campa terpaksa melarikan diri untuk mencari tempat perlindungan yang lebih selamat dan boleh buat sahabat, iaitu ke negeri Kemboja.    Tanah air Campa dirampas oleh Vietnam dalam pelbagai bentuk iaitu dengan cara senang-senang menempatkan rakyatnya (Vietnam) di Campa, cara peperangan dan cara diplomatik. Berikut adalah tarikh-tarikh penting tanah air Campa dirampas oleh Vietnam:

-    1069, jajahan Dia-ly, Ma-linh dan Bo-chinh diserah oleh Rudravarman II (Chê Cu) kepada Ly Thanh-tong;
-    1306, jajahan O dan Li (jajahan utara Col des Nuages) diserah oleh Jaya Simhavarman III (Chê Mân) kepada Tran Anh Tong, kerana kahwin dengan seorang puteri Vietnam Huyên-tran;
-    1471, mengambil secara taklokan di Vijaya,
-    1692, mengambil secara taklokan di wilayah sekeliling Phanrang,
-    1832, mengambil secara taklokan di Panduranga.

Ancaman bergerak ke Selatan oleh orang Vietnam (Nam-tiên) merupakan punca yang besar bagi penghijarahan orang Campa ke Kemboja. Dengan ini sumber-sumber Campa dan Kemboja menunjukan bahawa setiap kali Vietnam masuk dan tinggal di tanah air Campa, sejumlah besar bagi setiap lapisan masyrakat Campa, terpaksa meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka untuk mencari tempat perlindungan di mana satu masyarakat baru itu boleh menerima mereka dengan baik. Kembojalah yang mengambil peranan ini. Walaupun ia pernah jadi musuh Campa, Kemboja jugalah masih kekal menjadi kawan yang berpotensi.

Apabila sampai ke Kemboja, orang-orang Campa pertama sekali "menerima keagungan raja-raja Kemboja". Mereka tinggal pelbagai tempat. Mereka dijumpai biasanya di sepanjang sungai Mékong, di kawasan Phnon Penh sepanjang sungai Bassak dan di Thbaung Khmum. Bagi orang Melayu pula, mereka dijumpai di sepanjang Tonlé Sap, khususnya di Khléang Sbèk dan Lovêk. Sumber Belanda memberitahu: "Bandar [Lovêk] mempunyai lima (sic) perkamkongan untuk orang-orang asing: satu perkampongan orang Jepun, satu untok orang Portugese, satu untok orang Cina dan satu lagi untok orang Melayu dan orang Java. Tiap-tiap satu perkampongan itu ada 'Sabandar'nya yang bertugas sebagai nahkoda pelabohan dan sebagai pegawai kastam." Adalah menarik bahawa orang-orang yang tinggal di Khléang Sbèk, "kebanyakan dari mereka datang dari Borneo untuk perdagangan; mereka tiba pada mulanya di Kampot..."

Tentang bilangan mereka pula, tiada bukti yang jelas berapa ramai mereka di Kemboja dari suatu masa ke suatu masa yang lain. Kita dapat kesanan ada tiga kali yang besar orang Campa datang beramai-ramai, iaitu selepas kejatuhan Vijaya pada tahun 1471, kedua pada tahun 1692 selepas kejatuhan Kauthara, dan ketiga pada lebih kurang 1835, masa kejatuhan Panduranga. Jumlah bagi kali yang kedua adalah yang palin besar. Cabaton, pada tahun 1907, memberi jumlah 90 000 orang Melayu dan Cam di Kemboja, dari 150 kampong.

Sejarah Campa adalah satu sejarah yang sedih iaitu sejarah kekalahan sepanjang riwayatnya. Dari sebuah negeri yang berkuasa penuh, sekarang cuma tinggal khazanah-khazanah arkeologi di kawasan yang sudah menjadi sebahagian Vietnam. Rayatnya yang lari ke "gunung" atau melepaskan diri ke "tanah asing" cuma ada ikatan terakhir diantara mereka, iaitu nama "Chams yang merupakan satu perkataan juga dilupai masyarakat". Mereka mencari tempat tinggal dimana rayatnya dan kerajaannya menerima dan menghormati mereka bersma dengan orang Melayu mendirikan suatu masyarakat yang dikenali "Cam-Jva" atau Cam-Melayu keseluruhanny beragama Islam.

Kedua-dua kaum ini berjumpa di Kemboja dan mereka membentukan satu masyarakat yang tersendiri di samping orang Khmer. Ini kerana mereka berumpun yang sama dan lebih lagi beragama yang sama, manakal orang Khmer beragama Buda Therevada. "History has chanced to bring these two people together in various ways", Kata Marrisson.

Kita dapat lihat dengan jelas bahawa kehadiran orang Campa di Kemboja adalah disebabkan dari punca luar, iaitu tekanan Vietnam. Cabaton mencatatkan bahawa orang Vietnam "ne pouvaient vivre qu'aux dépenses des Chams (Hidup Vietnam Kerana Campa)". Dalam masa Nam-tiên itu, "Vietnam hendak melaksanakan hegemoninya di seluruh Asia Tenggara".

Bagi orang Melayu pula, kehadiran mereka adalah berpunca dalam iaitu missi-missi keagamaan dan ekonimi. Mereka sentiasa mencari tempat untuk pengislaman dan pemasaran aktiviti-aktiviti dagangan mereka.

Walaupun orang Cam-Melayu berkampong asing dari masyarakat tempatan dan mendirikan suatu masyarakat yang tersendiri, mereka sentiasa hidup aman damai dengan jiran-jiran orang Khmer. Dan walaupun sepanjang sejarah mereka di Kemboja, ada beberapa kali mereka menentang kerajaan negeri penerima mereka, penentangan yang hangat dalam bidang politik, di samping hubungan yang memberi manfaat, kita melihat kesefahaman di antara mereka dan orang Khmer masih dikekalkan; dan Kemboja masih sebuah negeri pemurah. Mereka menerima nasib pahit manis yang sama dengan orang Khmer. Nasib yang dicatatkan dalam sejarah GENOCIDE oleh Pol Pot pada tahun 1975-1979, dan kita tidak tahu akan nasib masa depan mereka.














Penyelidikan: Yusof Osman
~Mendukung Cita-Cita Kesatuan Dan Kesepaduan Ilmu~
16 Syawal 1432 / 14 September 2011





2 ulasan:

  1. Sdr. Yusuf,

    Jika Melayu dan Cam ialah dua etnik yang berlainan, maka bangsa apakah yang dikatakan Melayu Cam, iaitu kaum Melayu yang dikatakan berada di Kemboja? Adakah orang Cam sesudah pengaruh Hindu memeluk agama Islam? Harap dapat jelaskan.Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum wrt wbt,

    Tuan Haji Prof,

    Melayu Cam adalah nama yang berstruktur daripada dua etnik yang berlainan, Melayu atau digelarkan sebagai Khmer Jawa ialah keturunan Melayu Jawa yang telah menetap di Kemboja semenjak putri jawa berkahwin dengan raja Kemboja bernama ibrahim, Jadi kehadiran bangsa Khmer Jawa ini terlebih dahulu dari pemindahan Orang Cam lagi. Mereka juga mengaku asal di kemboja sejak lama zaman ketinggalan leluhur mereka di kemboja, oleh itu etnik Khmer Jawa ini kebanyakan di wilayah Battombong, Kampot, Kampong Chnang. Adapun Cam ialah bangsa yang pindah ke Kemboja setelah kekalahan perangan Champa-Vietnam. Orang Cam kebanyakan berkampongan di tepi sungai mekong dan tonle sap iaitu wilayah Kampong Cham. Khmer Jawa dan Orang Cam ini mereka jarang berkomunikasi baik dan berasingan komuniti mereka.

    Terima kasih,
    Wassalm.

    Yusof osman
    Al-azhar University.

    BalasPadam